Selasa, 21 Julai 2009

"Kasih Tidak Berkesudahan"


1 Korintus 13: 8
"Kasih tidak berkesudahan; nubuat akan berakhir; bahasa roh akan berhenti; pengetahuan akan lenyap" (Terj. LAI Baru)

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

KASIH - Apa yang kita tahu tentang kasih? Sebelum dunia ada kasih sudah ada dan ia akan ada untuk selama-lamanya. Jika kita melihat anak yang masih kecil dalam lingkungan umur 4 tahun, mereka sudah ada reaksi tentang kasih. Tetapi sangat menyedihkan bahawa semakin anak tu dewasa, kasih di dalam hidup mereka semakin pudar. Saya masih percaya walau sejahat mana orang itu sekalipun di dalam hati kecilnya masih memiliki kasih itu.


Sejahat mana Hitler sekalipun, dia tetap mempunyai kasih dan kasih itu tidak akan lenyap dari hidupnya. Walaupun dia sudah membunuh ramai orang tetapi saya percaya dia tetap mempunyai kasih. Ini kerana Hitler juga seorang manusia yang diciptakan Tuhan melalui rahim ibunya. Sebagai orang Kristian, kita perlu ingat bahawa sewaktu Tuhan Allah menciptakan manusia, semua karakter Allah itu ada pada manusia, termasuklah kasih. Oleh sebab itu, kasih tidak boleh lenyap dari seseorang dan kita tidak boleh berkata kepada orang lain bahawa mereka tidak mempunyai kasih kerana kasih itu tidak mungin dan tidak akan lenyap.
Tuhan sentiasa memberikan peluang kepada setiap orang untuk bertobat dan kembali ke jalan yang telah di sediakan-Nya bagi setiap orang.


"Kasih Agape" adalah hati yang mengasihi Allah dan orang lain.
Dalam bahasa asli Alkitab:
Agape = Kasih / Allah
Agapou = Seseorang yang mengasihi orang lain
Agapetos = Kekasih / yang disayangi




Prinsip Kasih:
"Kalau kita mengasihi janganlah mengasihi seperti mahu mengambil hasilnya tetapi mengasihilah seperti membesarkan pokok"

~ Katakanlah saya menanam pokok pada hari ini dan saya mengasihi pokok itu kerana ia akan menghasilkan buah. Tetapi bagaimana jika pokok itu tidak menghasilkan buah? Sudah tentu kasih saya akan pokok itu hilang serta merta. Nah, prinsip kasih bukan seperti ini. Prinsip kasih adalah saya harus mengasihi pokok itu bukan kerana buahnya tetapi kerana pokok itu telah wujud! Inilah kasih yang sejati.


Ada 2 situasi orang Kristisn sekarang ini:

1. Mereka katakan bahawa mereka mengasihi Tuhan tetapi mereka tidak mengasihi orang lain.

2. Mereka katakan mereka mengasihi Tuhan dan juga mengasihi orang lain. Tetapi mereka mengasihi orang lain kerana orang itu juga mengasihi mereka. Jika orang lain itu tidak mengasihi mereka, mereka juga tidak akan mengasihi orang itu. Ini adalah kasih bersyarat dan ini bukan Kasih Agape!
Tidak ada kamus yang mendefinisikan kasih dengan sempurna atau lengkap. Dapatkanlah semua jenis kamus yang ada di dalam dunia dan carilah definisi tentang kasih dengan selengkapnya. Saya 'garenti' tidak ada satu kamus pun yang dapat mendefinisikan kasih itu. Hanya satu buku yang dapat mendefinisikan erti kasih itu dengan selengkapnya iaitu "ALKITAB". Apabila buku ini sedang berada di tangan anda, sila buka dalam bahagian Perjanjian Baru dan carilah erti kasih di dalam surat Paulus yang telah dikirimkannya kepada jemaat (orang yang percaya) di Korintus.


Berkesudahan dalam bahasa asli Alkitab dipanggil pipto yang bermaksud jatuh atau runtuh/roboh. Dalam konteks ayat ini kasih tidak akan berhenti daripada kewujudannya. Berkesudahan bermaksud seperti daun yang layu kemudian kering dan akhirnya gugur. Kasih tidak berkesudahan bermaksud ia akan tumbuh terus menerus malah menjadi baru setiap hari. Maksudnya, kasih tidak ada musim kemaraunya dan juga tidak ada kegagalannya. Rasul Paulus berkata: "Semua yang hidup adalah seperti rumput dan segala kemuliaannya seperti bunga rumput, rumput menjadi kering dan bunga gugur tetapi firman Tuhan (Tuhan Allah) tetap untuk selamanya. Amin.

Kenapa nubuat akan berakhir? Kenapa bahasa roh akan berhenti? Dan kenapa pengetahuan akan lenyap? Ini kerana semuanya adalah bersifat sementara sahaja (tidak kekal). Semua ini adalah hanya talenta yang diberikan oleh Tuhan.






"Pengetahuan dan nubuat adalah sangat berguna sama seperti lampu pada waktu gelap/dalam kegelapan tetapi ianya tidak berguna sama sekali apabila hari kekekalan/sempurna itu datang"

Ini bermaksud kedua-duanya tidak sempurna. Apabila yang sempurna itu datang maka yang tidak sempurna itu hilang (13:10).




Apakah 'hari yang sempurna' itu?
1 Yohanes 3:2 ~ Apabila masa Tuhan Yesus menyatakan diri-Nya (kedatangan-Nya yang kedua kali), kita akan menjadi seperti Dia.



"Kasih adalah harta yang perlu kita pelajari, yang perlu kita fikirkan dan yang perlu kita alami dalam hidup kita"
Kenapa Yesus Kristus menyimpulkan 'Hukum Sepuluh' itu menjadi 2 hukum sahaja? Iaitu kasihilah Tuhan Allahmu dan kasihilah sesamamu manusia. Ini kerana Dia adalah Kasih! Jika kita percaya bahawa Yesus Kristus itu adalah Tuhan dan penyelamat, kita haruslah memiliki kasih itu. Tanpa kasih kita tidak akan diselamatkan. Kita diselamatkan kerana Allah mengasihi kita (Yoh. 3:16).
Kematian Yesus Kristus di kayu salib adalah bukti bahawa Dia adalah kasih. Dia yang tidak berdosa sanggup mati hanya untuk menyelamatkan kita. Tapi ingat kita hanya dapat diselamatkan apabila kita mengaku dan menerima Dia dengan sungguh-sungguh sebagai Tuhan dan Penyelamat peribadi kita. Langkah yang perlu kita ambil untuk memiliki 'kasih yang sempurna' itu adalah kita haruslah percaya dan menerima Yesus Kristus dalam hidup kita.
Sebab apa kasih itu tidak berkesudahan/kekal? Sebab Allah adalah Kasih! Dia adalah Alfa dan Omega iaitu dia adalah yang awal dan Dia juga yang terakhir. Dia sedia ada dan tetap/kekal ada sampai selama-lamanya. Amin, amin, amin.

Isnin, 20 Julai 2009

"Berusaha mengikut teladan Kristus"

1 Korintus 11:1
"Jadilah pengikutku, sama seperti aku juga menjadi pengikut Kristus" (Terj. Indo. Baru)
1 Korintus 11:1
"Ikutlah teladanku, sebagaimana aku pun mengikut teladan Kristus" (Terj. Berita Baik)
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Mengapakah Rasul Paulus meyarankan supaya kita mengikuti teladannya? Kita dapat mengetahui bagaimana kehidupan Rasul Paulus sebelum dia 'ditangkap' oleh Kristus untuk menjadi askar-Nya, jika kita membaca kitab Kisah Para Rasul. Selepas dia menyerahkan seluruh hidupnya kepada Kristus, hidupnya menjadi satu dengan Kristus. Sebab itulah dia sangat faham akan peribadi Kristus. Satu daripada banyak teladan Kristus kita dapat lihat melalui teks Yohanes 13: 3-15. Apakah teladan yang telah Tuhan berikan dalam petikan ini? Hanya satu, "KASIH". Dalam petikan ini Dia bertindak sama seperti hamba. Dan Dia mahu semua pengikut-Nya melakukkan seperti apa yang telah dilakukan-Nya.






Dia telah turun ke dunia untuk melaksanakan misi yang besar iaitu memberikan nyawa-Nya mati di kayu salib kerana kasih-Nya kepada manusia. Dia telah membuktikan bahawa Allah itu Kasih. Kasih-Nya tidak bersyarat. Inilah 'Kasih Agape'. Jadi, sebagai pengikut Kristus kita harus mencontohi-Nya. Inilah perkara yang kita perlu kejar dalam hidup kita.

Seorang askar yang sedang bercuti dari tugasnya, tergesa-gesa dalam perjalanannya semasa di stesen keretapi telah terlanggar sebuah gerai buah-buahan yang menyebabkan buah epal bertaburan di sana-sini. Budak lelaki yang sedang menjaga gerai ini cuba untuk mengutip semua buah yang telah jatuh tetapi sangat sukar baginya kerana buah itu banyak. Lelaki askar yang kesal dengan apa yang telah berlaku, membantunya mengutip buah-buah epal itu. Dia bukan sahaja mengutipnya tetapi juga mengelap buah-buah epal itu dengan sapu tangannya sebelum ia diletakkan di tempat asalnya. dengan perasaan yang kagum, budak lelaki ini bertanya dengan syukur kepada askar ini, "Encik, adakah encik Yesus?" Askar itu menjawab, "Bukan, tetapi saya cuba menjadi seperti Dia."

Manusia selalu menjalankan tanggungjawab dengan tergesa-gesa dan menjadi terlalu sibuk. Namun sebagai pengikut Kristus, kita mesti ingat bahawa Yesus mengesa kita untuk menunjukkan kebaikan dan keprihatinan kepada orang lain. Kita juga perlu mengambil masa untuk memberikan pertolongan kepada orang yang memerlukannya tanpa syarat. Inilah yang dikatakan 'Kasih yang Sejati'.

Adakah sesiapa yang akan bertanya kepada kita, "Adakah anda Yesus? Dan bolehkah kita menjawab dengan jujur, "Bukan, saya bukan Yesus tetapi saya berusaha untuk menjadi seperti Dia."

~ Kebaikan hati seperti Kristus dapat mewujudkan peluang bagi kesaksian yang menyentuh hati

Jika kita mahu mengubah seseorang kita haruslah mengasihi peribadi tersebut tanpa bersyarat. Semua orang yang berubah di dalam Kristus di sebabkan 'Kasih Kristus' ke atas mereka.